Berpegang kepada konsep ‘kaizen’
yakni penambahbaikan berterusan, wakil 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB)
yang terdiri daripada Jawatankuasa 5S dan Ketua-Ketua Zon ( AKU la ni) telah mengadakan
lawatan penandaarasan ke dua (2) buah jabatan kerajaan di Pulau Pinang.
Rombongan seramai 16 orang diketuai oleh Encik Muhammad Mazlan bin Jalla,
Penolong Ketua Pustakawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa 5S PSB telah
bertolak dari Universiti Utara Malaysia seawal jam 8 pagi pada 24 Oktober 2013
(Khamis) yang lalu.
Institut Kemahiran Belia Negara
(IKBN) Bukit Mertajam telah dipilih untuk dilawati oleh kerana statusnya
sebagai penerima anugerah Pensijilan Amalan Berkualiti 5S serta telah
dicadangkan sebagai tempat yang baik untuk dilawati oleh MPC. Rombongan PSB
sangat beruntung kerana telah disambut dan diberi taklimat mengenai dasar
pelaksanaan 5S oleh Encik Razman Mustafa, Ketua Jabatan Mekanikal
bersama Muhammad Tarmizi Yushak, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan. Lawatan yang memakan masa selama lebih kurang satu jam
setengah itu turut melibatkan tinjauan ke bengkel-bengkel kerja bagi
menyaksikan proses kerja yang diamalkan secara sistematik dan tersusun.
Seterusnya rombongan 5S PSB
bergerak ke Penang Rural Development Authority (PERDA) iaitu sebuah jabatan di
bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Setibanya
di sana, rombongan 5S PSB telah diiring masuk ke dewan PERDA di mana Encik
Anuar Shahab, Pengurus Khidmat Pengurusan telah bersedia menunggu untuk memberi
taklimat. Banyak input dan perkongsian sepanjang sesi taklimat berlangsung
khususnya mengenai peranan PERDA serta proses kerja yang mereka jayakan hingga
membolehkan mereka menerima anugerah dari MPC.
Sesungguhnya pengalaman ketika mengadakan penandaarasan di PERDA sangat bererti
di mana masih terdapat terlalu banyak ruang untuk diperbaiki bagi Perpustakaan
Sultanah Bahiyah sendiri. Selain menyaksikan bagaimana semua kakitangan PERDA
bekerjasama menjayakan aktiviti 5S, anggota rombongan juga dapat mempelajari
selok belok bagaimana untuk bekerja dalam suasana sentiasa mengamalkan proses
5S.
Lawatan penandaarasan 5S ini berakhir
sekitar jam 5.15 petang. Okjektif awal untuk menimba ilmu, mempelajari taktik
dan teknik serta berkongsi pengalaman bersama kedua-dua buah jabatan ini telah
tercapai. Setidak-tidaknya, wakil 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah pulang
dengan sebuah semangat untuk melakukan yang lebih baik untuk jabatan pada masa
akan datang.