KUALA LUMPUR - Harimau Malaya akhirnya mempamerkan watak juara bertahan apabila membaham Laos dengan penuh bernafsu dengan kemenangan bergaya 4-1 di hadapan 15,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Pungutan tiga mata berharga itu sekali gus membuka peluang Malaysia ke peringkat separuh akhir menjelang pertemuan getir berdepan seteru utama, Indonesia pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Sabtu ini.
Selepas dikritik hebat apabila kalah 0-3 kepada Singapura, Ahad lalu, ketua pasukan, Safiq Rahim ternyata menunaikan janjinya kepada peminat apabila membuka tirai jaringan skuad negara pada minit ke-15 tetapi dapat disamakan oleh Laos menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-38 sebelum menutup tirai separuh masa kedua.
Bagaimanapun, semangat Harimau Malaya ternyata seolah-olah berbeza pada separuh masa kedua dengan rakus melakukan kebangkitan apabila berjaya mendapat tiga gol melalui Safee Sali pada minit ke-67, Wan Zack Haikal Wan Nor minit ke-75 sebelum empat minit kemudian, Khyril Muhymeen Zambri memastikan kemenangan besar skuad negara dengan gol keempat Malaysia.
Rajagobal menepati janjinya membuat rombakan dalam kesebelasan utama apabila menurunkan empat muka berbeza daripada perlawanan menentang Singapura tempoh hari dengan memberi peluang kepada Mohd. Farizal Marlias sebagai penjaga gol utama selain Mahalli Jasuli, Shakir Shaari dan Wan Zack Haikal Wan Nor.
Paling mengejutkan, Norshahrul Idlan Talaha yang dikhabarkan mungkin direhatkan kerana mendapat rawatan di hospital kerana mendapat jangkitan di telinga diturunkan oleh Rajagobal, malahan menampilkan aksi penuh bertenaga di bahagian serangan dengan banyak mengkucar-kacirkan pertahanan Laos.
Corak permainan yang disajikan oleh Harimau Malaya cukup mengagumkan dengan banyak larian-larian pantas di bahagian sayap daripada S. Kunanlan dan Wan Zack berjaya merobohkan kekentalan kubu pertahanan Laos yang bagaikan terpukau melihat kehebatan Harimau Malaya.
Ternyata percaturan baharu pengendali berusia 56 tahun itu cukup menjadi dengan perubahan ketara boleh diperhatikan di bahagian tengah melalui gandingan Safiq Rahim dan Shakir yang menggantikan tempat Amar Rohidan berjaya mengawal tempo permainan di samping sering bertindak pantas membendung sebarang gerakan berbahaya lawan.
Tidak menghampakan, Mahalli Jasuli yang beraksi di bek kanan sering kali membantu melakukan gerakan pantas dan hantaran-hantaran berkualiti ke dalam kotak penalti lawan di samping turut dibantu Wan Zack Haikal.
Namun, persembahan Safee mendapat sedikit kritikan kerana banyak melepaskan peluang mendapatkan jaringan apabila mensia-siakan sekurang-kurangnya enam percubaan di hadapan pintu gol sebelum terpaksa dibawa keluar dan digantikan dengan Khyril pada minit ke-77.
Gol pembukaan Malaysia diperolehi melalui jaringan menarik pakar sepakan percuma negara, Safiq selepas 15 minit permainan bermula yang melencong ke arah kiri pintu gol lawan.
Namun, ketua pasukan negara itu menjadi punca kepada jaringan penyamaan Laos, 23 minit kemudian apabila kesilapan hantarannya membuka ruang kepada Khonesavanh melepaskan rembatan yang mengenai kaki Aidil Zafuan lantas mengelirukan Farizal sebelum bola melantun masuk ke dalam pintu gol.
Semangat perjuangan Harimau Malaya akhirnya menjelma pada babak kedua walaupun berdepan situasi cemas seketika apabila melihatkan Safee gagal menterjemahkan sekurang-kurangnya tiga peluang terbuka pada minit ke-47, 58 dan 63 sebelum menemui sasaran melalui jaringan mudah pada minit ke-67 hantaran Wan Zack.
Gol itu ternyata membunuh semangat Laos dan Wan Zack yang layak dianggap antara pemain terbaik pada perlawanan semalam menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-75 hasil hantaran Kunanlan dan Khyril yang masuk selaku pemain gantian melakukan gerakan solo menarik bagi merakamkan jaringan keempat Harimau Malaya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121129/su_01/Harimau-Malaya-baham-Laos#ixzz2DZFQSHh9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment